THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Rabu, 5 Mei 2010

Gentayang

Angin mula mati
keperitan semangkin menjarah
kehidupan
diselimuti teka teki
tiada jawapan
sekadar andaian bukan kepastian.

Ahad, 31 Januari 2010

Marhalah Cinta


Saat aku berpaling
flamboyan tidak lagi berbunga
di laluan hati
angin timur bertiup
menghembus setia yang berteduh
dibawah rimbunan
kasih semalam
semilir mengusap resahku
memujuk lara rindu
di persimpangan
pulanglah
menjengah denai penantian
sunyi kian menebal
menutupi agam cinta 
kesepian


Isnin, 11 Januari 2010

Nur Jannah

Kekasih
bila mentari dipagar pelangi
satu menjadi tujuh
benderang di dada langit
aku datang bersama hati
silau bergetar
aku lelah

dakaplah aku Kekasih
bersama baldu harum Nur Jannah
bukakan kepadaku pintu-pintuMu
walau di pinggir kudus taman
sambutlah aku


Ckbayu
06/08/2007
* Telah disiarkan. Utusan Malaysia September 2007

Padang Kota

Di pinggir Padang Kota
berdiri aku di rusuk kenangan
berbicara lewat angin tipis
derunya singgah menari di hujung rambutku
ketika redup matamu memandang
riak-riak ombak yang beralun
kitapun mula menghitung waktu
pada jejak-jejak perjalanan
mimpi-mimpi yang tertinggal


Ckbayu
Pulau Mutiara
01/07/07 5:23pm

Langit Rafah

(Khabar dari Hamra di Gaza)

Angin bawa khabar
langit Rafah yang tenat
anjing-anjing berkeliaran
dengan angkuh liur najis
bau kematian yang tajam
menghirup hanyir kesumat

di sana
ribuan Fatimah
disula hatinya
dibakar dendamnya


Ckbayu
Tepian Desaru 07

* Telah di siarkan. Mingguan Malaysia Jun 2007

Seorang Aku Dan Khalifah Itu

Seorang aku
patah ilhamnya kerana keliru
menyapa kesedihan daripada kedangkalan
air mata pun menitis
dari sungai suratan
bila bulan tidak lagi mengambang.

Seorang aku
sumbang syairnya kerana bimbang
menyeka pedih pada seraut wajah silam
tawa pun hilang
daripada dasar takdir
bila bintang tidak lagi berkelipan.

Seorang aku
cuma kata-kata
sedangkan dia seorang Khalifah
titahnya senyap tanpa suara
dan akupun membacanya dari sudut mata hati.

CKBAYU
Johor

** Telah disiarkan. Berita Harian May 2007

Ahad, 10 Januari 2010

Sehelai Saputangan

Sehelai saputangan
biru warnanya selembut hati
masih basah dalam kenangan
membalut luka sebuah mimpi.

Saputangan yang kauberi
tercatat nama di hujungnya
bersulam indah madah dan janji
berbiku cinta di tepinya.

Saputangan yang kuterima
kulipat kemas dalam ingatan
bersimpai erat ikatan kasih
walau rindu berkalang dendam.

Kekasih
tawaku hilang di rebas hujan
senyumku lemas di dasar hati.

CKBAYU
06/03/2007 12:00mlm

**telah disiarkan. Berita Harian 17/04/2007

Jumaat, 8 Januari 2010

Taranum Malam

Kekasih
aku datang kepada-Mu
sujud di atas satu kiblat
menyingkap hijab hati
bersama taranum malam hari
dalam kiamku
kerinduan mencium tauhid-Mu
ratib mengusir riak
bila iman gugur
di setiap penjuru amal

Kekasih
sedarkan aku
seandainya lupa terlena dalam jaga

Ckbayu
tepian waktu

Tuhan! ini rinduku

Dari kabilah cinta aku datang
mencari-Mu, di satu wilayah malam
entah di mana letaknya, kota keberkatan
antara seribu bulan

dari gurun rindu aku sampai
mencari-Mu, di satu detik dari sepertiga malam
entah di mana saatnya, waktu kerahamatan
antara seribu penantian

dalam janji, doa masih
di atas kudus, hati yang kubentang
sujud embun dan pohon-pohon mengiring
dihembus semilir, menjemput sunyi bertadarus

ini tasbih cintaku mengajak
angin malam yang meratib, berzikirlah kalam
hati menanti, aku mencari

Tuhan!
pilihlah aku!


Ckbayu
Tanjung Puteri 4 sep 2009